Segaris Art Center – Karya Pensel Warna Daud Rahim – Kosmo! Online

Sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm


SELEPAS kali terakhir mengadakan pameran solo berjudul Jiwa pada 2013, pelukis yang juga Pensyarah Fakulti Seni Halus, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sri Iskandar, Perak, Daud Rahim kembali mempamerkan koleksi karya terbaharunya.

Bertempat di Segaris Art Center, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, Daud mempertaruhkan karyanya berjudul Hidup.

Dalam pameran itu, Daud menterjemahkan penggunaan medium pensel warna di atas kanvas.

Menurut Daud, dalam pameran Hidup, dia mempamerkan 16 siri lukisan berkaitan mesin.

“Siri lukisan ini adalah kesinambungan daripada pameran solo siri Jiwa pada 2013.

“Bagi pameran solo sebelum ini, saya memasukkan elemen mesin dalam benda organik atau semula jadi.

“Namun, siri lukisan Hidup adalah bertentangan dengan karya sebelum ini kerana saya memasukkan benda hidup ke dalam mesin atau jentera buatan manusia.

“Ia juga melambangkan seolah-olah mesin ini hidup seperti manusia. Ini kerana barangan buatan manusia sememangnya dekat dengan kita sejak kecil sama ada sedar atau tidak,” katanya.

Kemanusiaan

Daud cenderung untuk menyerlahkan subjek kemanusiaan dalam setiap hasil karyanya sejak 1994.

screen-shot-2016-11-07-at-10-07-49-am
Pengunjung tidak melepaskan peluang melihat dengan lebih dekat karya Daud

Menurutnya, manusia akan sentiasa saling berkaitan dengan mesin dan ia cuma menampilkan hubungan itu dalam karyanya.

“Melalui pemerhatian saya, perkara-perkara yang wujud di sekeliling kita telah menjadi sebahagian daripada diri kita.

“Bagi karya terbaharu ini, saya cuba melakarkan benda buatan manusia adalah satu metafora yang hidup.

“Sebagai contoh, saya melakarkan enjin sebagai metafora yang menjadi jantung kepada kenderaan yang menjadi sebahagian daripada manusia sejak sekian lama,” katanya.

Lebih menarik, Daud berani untuk memberi kelainan dalam karyanya dengan pensel warna sebagai bahan utama.

Menurut Daud, penggunaan pensel warna bermula secara tidak sengaja selepas dia membeli buku lakaran berwarna hitam.

“Ketika membuat lakaran dalam buku berkenaan, saya mencuba pelbagai medium antaranya pensel warna. Dari situ, saya dapati warna daripada pensel warna adalah lebih terserlah di atas permukaan berwarna hitam.

“Saya terfikir untuk menonjolkan medium ini kerana ia jarang digunakan oleh pelukis lain.

“Cabaran utama untuk menyiapkan hasil karya ini adalah masa. Melukis menggunakan pensel warna di atas kanvas yang besar bukan mudah dan ia memerlukan ketelitian dan kesabaran yang amat tinggi,” katanya.