Soulmate Hingga Jannah: Satukan Taufik, Erra – Sinar Harian

SABTU, 4 FEBRUARI 2017
Oleh Aqmar Mustaza
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/hiburan/soulmate-hingga-jannah-satukan-taufik-erra-1.622644

PENGARAH Datuk Profesor A Razak Mohaideen, kembali dengan filem terbaharu arahannya, Soulmate Hingga Jannah.

Bagaimanapun berbeza dengan filem garapannya tahun lalu, Anak Mami Nasi Kandaq, A Razak membawakan sebuah filem romantik disulami elemen komedi.

Filem yang mempertaruhkan Primadona Filem Melayu, Erra Fazira ini turut memperlihatkan penyanyi terkenal Singapura, Taufik Batisah kembali ke layar perak.

Selain itu, filem ini turut dibintangi Raja Ilya, Douglas Lim dan Reen Rahim.

Menurut A Razak, filem ini pada awalnya diberi judul Soulmate, namun terpaksa dipanjangkan atas permintaan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).

“Syarat terbaharu LPF tidak mahu filem Melayu menggunakan judul Inggeris. Bagaimanapun atas rundingan, pihak LPF bersetuju mengekalkan judul Soulmate tapi perkataan Soulmate itu perlu di Italic.

“Saya juga turut menambahkan judul Hingga Jannah agar memenuhi kriteria LPF,” katanya.

Tambah A Razak, filem ini menjalani penggambaran di Chiang Mai, Thailand selama dua minggu dan diikuti penggambaran di lokasi sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam, Petaling Jaya dan Klang.

“Sebelum ini saya sering tampil dengan filem Anak Mami, tapi kali ini, saya bawakan sebuah cerita yang berbeza dan ada keistimewaannya yang tersendiri.

“Soulmate Hingga Jannah membawakan kisah seorang suami yang setia dengan janjinya pada si isteri. Tapi konflik timbul bila dia jatuh cinta dengan seorang yang seperti isterinya,” ujar A. Razak kepada Media Hiburan.

Taufik berbakat besar

Ditanya mengenai pemilihan Taufik selaku teraju utama filem ini, A Razak berkata, perwatakan dan usia Azmeer yang dibawakan oleh Taufik, seiring dengan usia sebenar Taufik pada realitinya.

“Kita kenali Taufik sebagai seorang penyanyi dan saya kira, satu kelainan untuk kita bawakan Taufik ke layar perak.

“Lagipun menerusi skrip usia Azmeer lebih kurang dengan usia Taufik yang membuatkan kita memilih Taufik.

“Malah dia juga berbakat besar dan boleh membawakan karakter dengan baik sekali,” jelasnya.

Soulmate Hingga Jannah mengisahkan Rokiah, seorang gadis kampung yang ‘comot’, selamba dan penuh dengan semangat telah mendapat tawaran bekerja di sebuah syarikat korporat di Kuala Lumpur.

Rokiah tidak menyangka bahawa dia terpaksa berhadapan dengan kerenah dan lagak sombong majikannya, Azmeer – seorang yang berkarakter baran, ‘terlalu jujur’ dan menggelar dirinya sendiri ‘Mr. Perfect’.

Namun di sebalik kebengisan Azmeer, tersimpan satu rahsia, iaitu janji Azmeer kepada arwah isterinya, Khalisa agar tidak berkahwin lagi atau mendekati mana-mana wanita yang dapat menggantikannya.