FiTA Studios – Risau Komedi Tak Menjadi – Harian Metro

KHAMIS, 9 FEBRUARI 2017
Oleh Syanty Octavia Amry (soctavia@hmetro.com.my)
Sumber : http://www.hmetro.com.my/node/204607

Pertama kali menjayakan watak komedi, Raja Ilya akui susah kerana bimbang lakonannya tidak menjadi.

Menerusi filem berjudul Soulmate Hingga Jannah, Ilya, 32, memegang watak sebagai Rokiah iaitu wanita dari kampung yang bekerja di bandar sebagai pembantu peribadi kepada seorang pegawai eksekutif.

“Saya akui susah kerana ini kali pertama saya memegang watak komedi. Biasanya orang lebih kenal saya dengan watak jahat.

“Namun saya gembira apabila menyaksikan tayangannya, baru-baru ini. Babak kelakar membabitkan saya buat orang ramai ketawa,” katanya.

Ilya berkata, selain perlu berimaginasi mengenai wataknya dalam filem yang bakal menemui penonton di pawagam pada 16 Februari itu, isteri Taufik Batisah, Sheena Akbal banyak membantunya.

Justeru, dia tidak sabar menanti maklum balas daripada penonton dan berharap diberi peluang melakonkan watak komedi lagi pada masa akan datang.

“Saya jarang berlakon cerita yang memerlukan saya bergandingan. Menerusi filem ini banyak babak membabitkan saya dan Taufik yang memegang watak sebagai Azmeer, bos di tempat saya bekerja.

“Pertama kali saya merasakan keserasian dengan pasangan dalam cerita yang membuatkan saya betul-betul puas hati untuk filem ini.

“Jujurnya, saya kagum dengan sikap positif dan ‘sporting’ Sheena yang banyak membantu dan memberi idea untuk memastikan babak kami berdua benar-benar berkesan,” katanya.

Selain itu, pengalaman dua minggu lebih berlakon di Chiang Mai, Thailand mengajar banyak perkara baru buat Ilya.

Bergandingan dengan Douglas Lim dan Erra Fazira juga membuatkan dia begitu kagum dengan dua nama besar itu yang sememangnya sangat merendah diri.

“Rasa seronok apabila bersama pasukan yang sudah seperti keluarga sendiri. Bekerja di sana terasa bagaikan sedang bercuti dengan keluarga apabila semua banyak membantu dan memberi kerjasama,” katanya.

Dalam pada itu, Ilya juga sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Syurga Ku Tak Sempurna yang menggunakan Kundasang, Sabah sebagai lokasi utama.

Drama itu menggandingkan Ilya bersama Uqasha Senrose dan Aedy Ashraf. Ia akan ditayangkan di saluran Hypp TV.