FiTA Studios – Fasha Korban Rambut Demi Badang – Berita Harian

SABTU, 11 FEBRUARI 2017
Oleh Farhana Ab Rahman (farhana@bh.com.my)
Sumber : http://www.bharian.com.my/node/246784

KUALA LUMPUR: Aktres popular, Nur Fasha Sandha Hassan menolak permintaan untuk membotakkan kepala ketika menjayakan watak sebagai Tisha dalam filem terbaharu Badang bagi menghormati sensitiviti masyarakat.

Namun, bagi memastikan watak ditampilkan benar-benar hidup, Fasha sanggup mengorbankan rambut panjangnya untuk dipotong pendek.

Selain Fasha, turut membintangi filem yang diarahkan Profesor Datuk Dr A Razak Mohaideen adalah pengasas produk kecantikan Datuk Aliff Syukri, Fauzi Nawawi dan Fareez Fauzi.

Jelas Fasha dalam satu kenyataan, pengorbanan itu dilakukan kerana ia tuntutan yang sangat diperlukan dalam satu babak penting filem itu.

“Babak ini menunjukkan Tisha yang juga isteri kepada Badang dianiaya oleh abangnya, Tai lakonan Fauzi Nawawi.

“Tisha telah didera dengan kejam oleh abangnya apabila dipukul, direntap dan digunting sebahagian besar rambutnya. Kekejaman Tai terserlah apabila perlakuan jahat itu ditonjolkan,” katanya.

Jelas pelakon yang mula dikenali menerusi filem Black Maria dan Berlari Ke Langit itu lagi, berdasarkan skrip asal, Tisha didera hingga rambutnya dibotakkan.

“Bagaimanapun selepas memikirkan isu sensitif yang pernah berlaku apabila ada pelakon wanita membotakkan kepala untuk menjayakan watak dalam filem, saya dan pihak produksi filem memikirkan memadai untuk rambut saya dipotong pendek,” katanya.

Fasha juga tidak menyesal atau terkilan apabila rambutnya dipotong pendek seperti lelaki gara-gara mahu menjayakan watak.

“Ketika menerima tawaran untuk menjayakan filem ini lagi, saya sedar akan pengorbanan besar yang harus dilakukan. Sebagai pelakon saya perlu komited dengan apa yang dilalui watak dijayakan.

“Saya tidak kisah apabila terpaksa melakukan pengorbanan ini asalkan watak dijayakan nampak benar-benar hidup dan penonton yakin dengan lakonan apabila Badang ditayangkan di pawagam nanti,” katanya.