Anjur Seminar Perangi Agnotisme – Sinar Harian

ISNIN, 13 NOVEMBER 2017
Oleh Hasniza Hussain

SHAH ALAM – Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) bersama INTEC Education College (Intec) dan Pertubuhan Mawaddah Malaysia (Mawaddah) bekerjasama menganjurkan seminar, Selamatkan Zuriat Kita: Mencari Tuhan bertempat di Dewan 3S Kolej Cemara, Intec, di sini.

Pengerusi program, Ton Tijah Jajuli berkata, program tersebut untuk memberi kesedaran dan merungkaikan permasalahan masyarakat yang dilanda krisis sosial seperti pergaulan bebas, zina, pembuangan bayi dan gejala baharu yang kian menular iaitu agnostik.

Menurutnya, gejala agnostik memberi ancaman besar kepada akidah umat Islam khususnya remaja yang terikut-ikut pemahaman dan pemerhatian ilmu secara logik akal serta tidak seiring pendekatan Islamiah.

Justeru katanya, segelintir golongan terbabit cenderung meragui kewujudan tuhan.

“Kita harap pengisian program berhubung kesedaran tentang ‘agnotisme’ (meragui kewujudan tuhan) dan aliran pemikiran antaranya seperti modenisme, humanisme, materialisme, sekularisme dan liberisme yang boleh mempengaruhi seseorang itu untuk menjadi seorang agnostik, seterusnya ateis dapat difahami semua audiens dengan sebaiknya.

“Perbincangan berhubung kesedaran tentang bahaya ancaman gejala agnostik terhadap akidah umat Islam yang boleh menyebabkan isu murtad turut dikupas dua panel jemputan, Asmak Husin dan Imam Muda Hassan Adli Yahaya dengan dipengerusikan moderator Imam Muda Aran serta penceramah, Mohd Fakaruddeen Che Omar,” katanya.

Ton Tijah berkata, pihaknya berharap dapat mengadakan program seumpama itu secara berterusan pada masa akan datang.

“Kita mengharapkan penglibatan lebih ramai pertubuhan dan organisasi di semua peringkat serta lebih menyeluruh sama ada NGO, agensi kerajaan dan swasta di desa dan bandar kerana fenomena tersebut juga boleh menular kepada semua peringkat masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, seminar berlangsung baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan orang ramai khususnya pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) 11, SMK Seksyen 18, Intec dan NGO.