Segaris Art Center – Pameran Amal Bantu Mangsa Banjir – Berita Harian

SELASA, 21 NOVEMBER 2017
Oleh Mohd Azrone Sarabatin (azrone@bh.com.my)
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/353643/pameran-amal-bantu-mangsa-banjir

KUALA LUMPUR: Galeri Prima, Balai Berita bersama Segaris Art Center mengadakan pameran amal bertema ‘Altruism’ sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk disalurkan ke Tabung Bencana NSTP-Media Prima bagi membantu mangsa banjir.

Pameran menakjubkan di Galeri Prima itu berlangsung mulai semalam hingga 8 Disember ini, mulai jam 10 pagi hingga 6 petang, selain dibuka pada waktu malam mulai jam 8 malam hingga 10 malam pada 29 November ini.

Galeri Prima dalam satu kenyataan hari ini berkata, hasil kutipan pameran itu sebahagiannya digunakan untuk membantu mengurangkan penderitaan serta bebanan mangsa banjir dan memanfaatkan mereka yang mungkin terjejas akibat bencana itu pada masa depan.

Lebih 50 pempamer mengambil bahagian meliputi 80 karya seni menampilkan pelukis terkemuka, seniman kontemporari dan bintang muda yang semakin menyerlah antaranya Abu Bakar Idris, Abu Bakar Sabran, Ahmad Shukri Mohamed, Rizo Leong dan Zainon Abdullah.

Pelbagai pihak termasuk korporat dipelawa menyampaikan sumbangan sempena pameran amal itu untuk mengurangkan penderitaan mangsa bencana, selain membantu pelukis ke arah pertumbuhan seni negara.

Altruisme atau tidak mementingkan diri sendiri adalah prinsip atau amalan untuk membantu kebajikan orang lain dan kesediaan melakukan pekerjaan yang membawa kebaikan kepada masyarakat.

NSTP menyediakan platform kepada masyarakat untuk menderma kepada mangsa bencana melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima yang kemudian disalurkan kepada mangsa.

Bagi Segaris Art Center pula ia peluang memperluaskan strategi CSR bagi membantu golongan yang memerlukan khususnya dalam mempromosi pelukis muda di negara ini .

Penubuhan galeri organisasi itu untuk menyediakan platform kepada pelukis yang baharu muncul untuk mengetengahkan bakat semula jadi mereka, yang sekali gus mendekatkan dengan masyarakat.

Inisiatif CSR itu juga bertepatan matlamat Segaris Art Center untuk mempromosikan amalan menderma melalui seni yang sekali gus memanfaatkan masyarakat memerlukan.

Maklumat lanjut, hubungi Galeri Prima di talian 03-27248300, 03-27248676 atau Azlynn Aziz di 012-3222081 dan Zahirah (012-6608440).