Segaris Art Center – Pameran Altruism Kritik Pembangunan Tidak Seimbang – Berita Harian

The Wall or Hope luahan kekecewaan kemusnahan landskap bumi

SABTU, 25 NOVEMBER 2017
Oleh Siti Haliza Yusop

Bencana banjir yang melanda beberapa negeri di tanah air baru-baru ini boleh terjadi disebabkan kekerapan hujan namun secara sedarnya, kita tidak dapat menolak yang sebahagian besarnya disebabkan oleh kesan pembangunan yang tidak seimbang.

lukisan terbaru oleh Syed Mohd Fakaruddin Sayed Jaafar, ‘melukiskan’ kekecewaan yang dirasainya disebabkan kemusnahan landskap bumi hari ini yang berpunca daripada kecuaian manusia.

Lukisan tembok bata dengan tekstur kasar di atas kanvas digunakan pelukis kelahiran Setiu, Terengganu itu sebagai perlambangan kepada kehancuran bumi disebabkan perubahan ekosistem hari ini.

Ekspresi kerakusan manusia

“Tekstur kasar yang terdapat pada lukisan itu berlaku hasil olesan kasar warna secara berlapis-lapis dan ia mewakili ekspresi saya terhadap kerosakan muka bumi yang berlaku disebabkan kerakusan manusia memburu pembangunan.

“Kemajuan tentunya sesuatu yang penting tetapi tanpa perancangan rapi, pembangunan yang mengambil tempat akan menyebabkan gangguan dan perubahan pada ekosistem dan inilah akhirnya yang memusnahkan alam.

“Bagi yang terbabit, kesannya cukup besar kerana mereka tidak hanya hilang harta benda tetapi emosi juga turut tercalar,” katanya kepada

adalah antara lebih 80 karya oleh hampir 50 pelukis tanah air yang dipamerkan sempena Pameran Altruism yang berlangsung di Galeri Prima, Balai Berita di sini, sehingga 8 Disember ini.

The Wall of Hope karya Syed Mohd Fakaruddin di Galeri Prima, Balai Berita

Seperti makna Altruism itu sendiri, pameran hasil kerjasama Galeri Prima dan Segaris Art Centre (Segaris) ini istimewa kerana turut membawa misi bagi membantu mereka yang terkesan dengan bencana ini.

Pengurus Galeri Prima, Azlin Aziz, berkata Galeri Prima membuat keputusan untuk turut serta dalam usaha kebajikan itu bersesuaian dengan falsafah teras yang dipegang The New Straits Times (M) Bhd (NSTP).

Hasil jualan bantu mangsa bah

“Sebahagian daripada jualan Altruism akan diserahkan kepada Tabung Bencana NSTP-MEDIA Prima dan kami berharap apa yang dilakukan dapat mengurangkan bebanan dihadapi mereka yang terkesan dengan kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEGARIS, Nizam Rahmat, berkata pihaknya terbabit dengan agenda ini sebagai sebahagian langkah mengembangkan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dalam membantu mereka yang memerlukan.

“Kami mahu mempromosi sifat kedermawanan ini melalui seni dan usaha ini juga diharap dapat mempromosi karyawan muda Malaysia, sekali gus membantu mereka membina nama dalam bidang ini,” katanya.