FiTA Studios – Golf, Praya Bersedia Tawan Malaysia – Kosmo! Online

Selasa, 26 Disember 2017
Nor Eryani Yusup
Sumber: http://www.kosmo.com.my/hiburan/golf-praya-bersedia-tawan-malaysia-1.579382


 

  

MENJANJIKAN satu pengalaman menonton filem seram yang lari daripada kebanyakan konsep cerita hantu lain menjadikan naskhah terbaharu dari Thailand, Realms: Your Nightmare Will Find You mempunyai keunikan tersendiri.

Realms dibintangi barisan pelakon popular negara itu seperti Praya Lundberg, Golf Pichaya, Air Phantila serta dua wajah Hollywood iaitu Ryan Kelly dan Madison McKinly.

Ryan merupakan pelakon drama bersiri Teen Wolf, manakala Madison pula pernah membintangi filem The Wolf Of Wall Street.

Bertemu dua teraju utama filem itu, Praya dan Golf pada satu sesi temu bual yang diadakan di Siam Paragon, Thailand, Bangkok baru-baru ini, mereka berbicara tentang pengalaman membintangi naskhah tersebut selain berkongsi keterujaan menanti reaksi peminat di negara ini.

Sebelum terjun dalam bidang lakonan, Golf atau nama sebenarnya Pichaya Nitipaisalkul terlebih dahulu mencipta nama selaku penyanyi pada tahun 2005 apabila menerbitkan album pertama ketika berusia 18 tahun.

Dia kemudian perlahan-lahan mengembangkan bakat di kaca televisyen menerusi beberapa buah drama sebelum dilamar untuk berlakon di layar perak.

Sehingga kini, Golf sudah membintangi sebanyak tiga buah filem termasuk Realms yang kesemuanya merupakan naskhah seram.

“Ia pengalaman mengujakan untuk saya kerana sebagai pelakon yang masih baharu dalam bidang ini, Realms merupakan naskhah berkualiti dari segi skrip, jalan cerita, produksi dan barisan pelakon,” ujarnya.

Membawa watak sebagai seorang pemandu teksi bernama Chaow, lelaki berusia 30 tahun itu menterjemahkan pengalaman sepanjang menjalani penggambaran filem Realms yang disifatkan sebagai satu pengalaman baharu dalam hidupnya.

“Secara jujur, ia merupakan pengalaman baharu buat saya kerana bekerjasama dengan bintang dari Hollywood. Tidak dinafikan, ada beberapa cabaran seperti keraguan mencipta keserasian bersama mereka.

“Bagaimanapun dari sudut positif, Realms mampu menjadi portfolio terbaik untuk memacu karier saya pada masa hadapan,” ujarnya yang kelihatan sedikit kekok tetapi cepat menyesuaikan diri saat diwawancara media Malaysia.

Kejutan

Ironi, kebanyakan filem Thailand termasuk genre seram tidak pernah mengecewakan kerana susunan jalan cerita yang penuh mendebarkan selain aspek teknikal seperti kesan bunyi, kesan khas dan teknik pengimejan berkomputer (CGI) yang berkualiti.

Bagi Praya yang pertama kali terlibat dalam filem seram, dia mengakui jalan cerita dan kejutan plot menjadikan Realms sebuah naskhah wajib ditonton.

Ketika menerima skrip Praya atau nama sebenarnya, Nataya Lundberg mengakui tertarik dengan kelainan yang ditampilkan kerana ia lebih kepada sebuah filem thriller indie dan bukannya hantu.

“Sebelum ini saya banyak terlibat dengan drama seram tetapi apabila menilai jalan cerita Realms, ternyata ia sebuah naskhah yang unik kerana skripnya yang kreatif.

“Perbezaannya daripada naskhah lain adalah cara lakonan, karakter dan bahasa yang digunakan iaitu hampir 100 peratus dalam bahasa Inggeris. Sekali gus menjadikan ia pengalaman berbeza untuk saya,” ujarnya yang membawa watak Winny.

Berbeza dengan Golf, Praya memulakan karier lakonan seawal usia 13 tahun menerusi debut dramanya berjudul Rak Dai Mai Thar Hua Jai Mai Paen pada tahun 2004 dan muncul sebagai model dalam banyak iklan jenama terkemuka.

Wanita kacukan Sweden (sebelah bapa) dan Thailand (sebelah ibu) kini menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat untuk mengembangkan kariernya pada peringkat antarabangsa.

Ketika ditanya tentang cabaran terbesarnya sepanjang menjalani penggambaran, wanita berusia 28 tahun itu berkata, ia menuntut dirinya mengekalkan sisi wanita polos pada awal jalan cerita sebelum tiba-tiba bertukar kepada karakter sebenarnya yang jahat.

“Bahagian paling sukar dilakukan sewaktu menghampiri klimaks ketika saya mengetuk-ngetuk pintu dan menjerit meminta maaf kepada mangsa-mangsa pembunuhan. Babak tersebut diambil sehingga 12 kali kerana memerlukan saya menghamburkan emosi sedih, penyesalan dan ketakutan yang mempunyai tahap tekanan berbeza,” ceritanya yang teruja menanti tarikh tayangan filem itu di Malaysia kelak.

Platform

Realms merupakan naskhah hasil kerjasama Film Frame Productions dan Fakulti Filem, Teater dan Animasi Studios (FiTA Studios Sdn. Bhd.) yang memakan masa selama 35 hari penggambaran di sekitar Bangkok.

Menurut Penerbit Eksekutifnya, A. Latiff Mohaideen, FiTA Studios sentiasa membuka ruang dan peluang untuk meneroka pasaran filem luar negara kerana ia mampu memberi pulangan timbal balik terutama dalam aspek ilmu perfileman.

“Sebab pertama mengapa kami memilih Thailand sebagai permulaan adalah kerana pasaran filem dan populasi mereka yang sangat besar. Pasaran filem di negara ini juga sudah mencecah tahap antarabangsa sejak dulu lagi.

“Hal itu sekali gus menjadikan FiTA Studios sebagai syarikat pertama dari Malaysia yang mengorak langkah dalam menerbitkan sebuah filem luar,” ujarnya yang menyasarkan kutipan tayangan sebanyak AS$10 juta (RM40 juta) untuk filem tersebut.

Biarpun menampilkan dua wajah Hollywood, namun Realms masih mengekalkan identiti Asia dan mahu mereka keluar dari zon selesa genre dan konsep filem seram Hollywood.

Menelan kos belanja mencecah AS$2 juta (RM8 juta), FiTA Studios menjadi syarikat bumiputera pertama yang mengeksport filem luar negara ke negara lain termasuk Malaysia.

Realms yang diarahkan oleh pengarah dari Amerika Syarikat, Daric Gates memasuki pawagam di negara ini bermula 18 Januari tahun depan.