FiTA Studios – Janjikan Kelainan, Aksi Luar Biasa – Harian Metro Online

Isnin, 1 Januari 2018
Nor Akmar Samudin (akmar@hmetro.com.my)
Sumber: https://www.hmetro.com.my/rap/2018/01/298744/janjikan-kelainan-aksi-luar-biasa


Bagi mengorak langkah lebih besar dalam bidang pembikinan, penerbitan dan pemasaran filem sehingga ke peringkat antarabangsa, FiTA Studios Sdn Bhd menerbitkan filem seram Thailand berjudul Realms.

Syarikat penerbitan itu bekerjasama dengan produksi popular Thailand, Film Frame Productions yang turut menampilkan barisan pelakon terkenal negara itu seperti Praya Lundberg, Golf Pichaya dan Air Phantila.

Menjanjikan kelainan, debaran dan aksi yang luar biasa, dua pelakon Hollywood iaitu Ryan Kelly dan Madison McKinly turut membintangi filem seram itu.

Aksi mantap kelima-lima pelakon ini ditambah kesan bunyi yang menggetarkan perasaan pasti anda tidak ‘senang duduk’ kerana setiap detik tertunggu-tunggu apa akan berlaku seterusnya.

Mengetengahkan plot cerita berpaksi kepada ‘hukum dunia’ yang baik akan dibalas baik dan berbuat jahat balasannya adalah kejahatan. Ia adalah hukum karma yang akan dilalui setiap manusia.

ANTARA babak menarik dalam Realms.

Penerbit Eksekutif FiTA Studios A Latiff Mohaideen berkata, mereka memilih untuk menerbitkan filem di negara gajah putih itu kerana filem Thailand sudah lama mendapat tempat di pasaran antarabangsa dan filem seram amat sinonim dengan mereka.

“Filem seram dan aksi seperti Nang Nak, Tom-Yum-Goong dan Ong-Bak: Muay Thai Warrior mencetuskan fenomena antarabangsa dan sehingga kini penonton masih ingat jalan cerita Nang Nak mengisahkan percintaan sepasang suami isteri yang penuh tragedi.

“Oleh itu, FiTA Studios mengambil keputusan bekerjasama dengan syarikat produksi Thailand supaya Realms dapat menembusi pasaran filem di seluruh dunia.

“Selain itu, populasi di Thailand juga besar dan kami yakin Realms mampu menawan peminat filem negara itu.

“Ada dua lagi filem yang akan diterbitkan iaitu Cage dan Retreat. Kami berharap filem itu dapat bertanding di Oscars ,” katanya.

ANTARA babak menarik dalam Realms.

 

Menurut Latiff, mungkin pada penerbitan yang akan datang mereka akan mempertimbangkan pelakon Malaysia untuk beraksi sama mengikut kesesuaian jalan cerita.

Katanya, kerjasama yang terjalin dengan produksi Thailand menjadikan FiTA Studios syarikat penerbitan pertama di Malaysia menerbitkan filem luar negara, sekali gus muncul syarikat Bumiputera pertama mengeksport filem luar negara ke negara lain termasuk Malaysia.

“Kami percaya peluang meneroka pasaran filem luar negara akan memberi pulangan balik kepada FiTA Studios.

“Kos pembikinan Realms mencecah RM8 juta dan kami menyasarkan kutipan tayangan di seluruh dunia sebanyak RM40 juta,” katanya.

GOLF (kiri) dan Air Phantila antara pelakon popular Thailand.

Realms diarahkan pengarah dari Amerika Syarikat, Daric Gates berlatar belakang kejadian yang berlaku di Thailand.

Selepas berlaku adegan kejar-mengejar antara polis dengan dua perompak bank yang turut membawa bersama tiga tebusan, kereta mereka terbabas dalam satu kawasan hutan.

Ketika mencari tempat berlindung, mereka berlima terjumpa banglo usang dan menyeramkan. Apakah sebenarnya misteri yang menyelubungi banglo itu, tiada siapa yang tahu.

Filem ini bakal ditayangkan di negara ini mulai 18 Januari ini.

PRAYA Lundberg turut membintangi filem ini.