UiTM Holdings Sdn Bhd – 100 Pelajar Terima Sumbangan Cermin Mata – Utusan Online

Selasa, 2 Januari 2018
Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/pahang/100-pelajar-terima-sumbangan-cermin-mata-1.583013


KUANTAN 1 Jan. – Kira-kira 100 murid dan pelajar dari 11 sekolah sekitar Parlimen Paya Besar menerima sumbangan cermin mata anjuran Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing, Badan Kebajikan dan Pendidikan Pelajar Miskin Malaysia dan Prisma Optometrist di sini kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohammed Shah berkata, program itu turut mendapat tajaan Teknologi Park Malaysia (TPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Holdings.

“Terima kasih kepada pihak penaja dan kali ini kali kita memilih murid dan pelajar melalui kerjasama pihak sekolah mengesan mereka yang mempunyai masalah penglihatan.

“Saya berharap dengan program seperti ini dapat mengurangkan kos sara hidup keluarga. Kita juga merancang meningkatkan jumlah penerima pada masa akan datang,” katanya dalam majlis tersebut di Dewan Akademi Latihan Felda di Felda Bukit Goh, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengurus TPM Corporation Sdn. Bhd., Ema Ukhtiah Zakaria.

Sementara itu, seorang ibu pe­nerima, Wan Norazila Wan Abdullah, 32, dari Felda Bukit Kuantan di sini gembira apabila anaknya, Nur Shafriena Khalisya Hisamuddin, 10, dipilih sebagai penerima.

“Syukur, Alhamdulillah saya gembira kerana sedikit sebanyak membantu saya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak tidak lama lagi,” katanya.

Bagi penerima T. Thamaneswary, 9, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kuala Reman, Sungai Lembing berkata, terima kasih kepada pihak penyumbang kerana selama ini dia tidak menyedari perlu memakai cermin mata sehingga dapat dikesan oleh guru.

“Cikgu panggil suruh buat pemeriksaan mata dan saya memberitahu kepada ibu saya akan dapat cermin mata kerana rabun,” katanya.