Segaris Art Center – Seni Daripada Kaca Mata Saintis – Kosmo! Online

Isnin, 29 Januari 2018
Sumber : http://www.kosmo.com.my/k2/varia/seni-daripada-8232-kaca-mata-saintis-1.599161


KANVAS kosong dicalit dengan pelbagai warna. Cantik, unik dan menarik untuk diamati serta diteroka terutamanya bagi para pencinta seni.

Saat didekati pemilik lukisan Cat Town Series 7 – The Mayor, ternyata, falsafah seninya lebih kepada luahan isi hati dan jiwa mengenai kehidupan.

Siapa sangka, lukisan abstrak yang penuh bermakna itu merupakan hasil tangan Dr. Roslina Ismail yang mesra disapa Lyn, seorang saintis yang berkhidmat di Institut Mikroelektronik dan Kejuruteraan Nano (IMEN), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dia adalah antara 45 pengkarya seni yang terlibat pada pameran seni Bintang Lima Siri Dua yang berlangsung di Segaris Art Centre, Publika, Jalan Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Lyn, Cat Town Series diibaratkan seperti biografi kehidupannya yang melihat daripada perspektif sains secara mikro.

“Semuanya melambangkan perjalanan hidup saya yang diterjemahkan dalam karya seni ini. Ia adalah biografi kehidupan yang berkisar kepada cabaran, harapan dan kisah silam.

“Cat Town Series ini membolehkan saya kembali ke dunia fantasi dan mengimbas segala yang berlaku sepanjang kehidupan. Namun, sekiranya terlalu lama berada dalam dunia fantasi itu, ia akan memerangkap kita,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Maka, tidak hairanlah karya yang dihasilkan banyak menggunakan warna gelap kerana bagi Lyn, untuk kembali ke zaman silam adalah suatu hal yang menyeramkan.

“Ia mengajar saya untuk sentiasa memandang ke hadapan dan tidak terus hidup dalam kekecewaan,” kata anak kelima dari enam orang adik-beradik itu.

Dalam melengkapkan siri biografi kehidupan menerusi lukisan bersiri, Lyn berkata, dia turut membukukan pengalaman serta perjalanan hidupnya.

“Kadang-kadang saya menulis dahulu baru melakar di kanvas. Menulis dan melukis bergerak seiringan kerana saya berharap teka-teki perjalanan kehidupan saya dapat dilengkapkan suatu hari nanti.

“Cat Town Series sebenarnya amat peribadi. Walaupun abstrak tetapi mengandungi makna yang cukup besar dalam hidup saya. Seabstrak mana contengan di atas kanvas itu, begitulah realiti kehidupan yang saya tempuhi bermula sejak zaman kanak-kanak sehingga kini,” kata wanita yang berasal dari Johor Bharu itu.

Cabaran

Bagi Lyn, dia tidak suka berada dalam zon yang terlalu selesa dan sering mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baharu.

“Apabila kita terlalu lama dalam sesuatu bidang, ia menjadikan kita statik dan sampai suatu tahap, kita akan tertanya-tanya apa sebenarnya yang ingin dicapai dalam kehidupan.

“Jadi, saya mencabar diri untuk keluar daripada zon selesa dan mula mencari diri yang sebenar dengan melibatkan diri dalam bidang seni,” ujarnya.

Beliau mengambil keputusan drastik dalam hidupnya apabila menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang seni halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada tahun 2015.

“Sejak itu, pandangan saya terhadap seni berubah. Seni itu sukar digambarkan dengan kata-kata sebaliknya perlu merasainya sendiri. Pembacaan dan penyelidikan sahaja tidak mencukupi.

“Saya pegang berus cat, bergelumang dengan pelbagai bahan dan hasilkan sendiri menggunakan jari-jemari kemudian baru saya merasai apa itu makna seni,” katanya lagi.

Lyn berkata, seni abstrak datang daripada diri sendiri dan tiada bahan yang boleh dijadikan rujukan untuk menghasilkannya.

Beliau amat menitikberatkan kepuasan dalam menghasilkan sesebuah karya dan bukan sekadar untuk menyiapkannya.

“Selagi karya itu tidak mencapai tahap kualiti yang diinginkan, saya akan terus berkarya sehinggalah ia memberi kepuasan terhadap diri sendiri.

“Oleh kerana itu, mereka yang melihat karya saya akan mendalami prosesnya kerana ia dihasilkan secara terperinci, lapisan demi lapisan dan warna demi warna,” jelasnya lagi.

Lyn berkata, dia menggunakan teknik lapisan dalam karyanya kerana ia menggambarkan kehidupan yang kompleks.

“Saya percaya kehidupan ini terhasil daripada beberapa lapisan. Setiap orang yang kita lihat hanya pada luaran semata-mata tetapi kita tidak tahu lapisan lain dalam kehidupannya,” jelasnya.