FiTA Studios – Filem Badang Bakal Dialih Suara Dalam Lima Bahasa – Kosmo! Online


Pengarah filem tersebut, Profesor Datuk Dr. A. Razak Mohaideen berkata, pihaknya mendapat tawaran daripada sebuah produksi India selepas menonton tayangan perdana filem tersebut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini.

“Saya dimaklumkan produksi tersebut menunjukkan minat untuk melakukan alih suara filem arahan saya ini bagi pasaran di India.

“Setakat ini, mereka berminat untuk melakukan alih suara dalam lima bahasa iaitu Urdu, Inggeris, Tamil dan dua lagi bahasa,” katanya ketika ditemui selepas majlis sidang akhbar dan pratonton filem Badang di MM Cinepelex, E Curve, Damansara di sini malam tadi.

Ujarnya, bagaimanapun, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.

“Kita masih berhubung dengan pihak produksi itu untuk bekerjasama dan kita akan maklumkan butiran mengenainya kelak,” katanya yang juga Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), UiTM.

Filem Badang menampilkan gandingan kali pertama usahawan kosmetik dan juga pengasas syarikat D’Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman sebagai teraju utama bersama aktres popular, Fasha Sandha.