FiTA Studios – Sebulan Nak Nampak ‘Macho’ – Harian Metro

KHAMIS, 8 FEBRUARI 2018
Oleh Amirul Haswendy Ashari (haswendy@hmetro.com.my)
Sumber : https://www.hmetro.com.my/utama/2018/02/311007/sebulan-nak-nampak-macho
Suatu ketika dahulu, dia pernah menyimpan hasrat bergelar pelakon. Semuanya gara-gara suka melihat pelakon menjiwai watak sekali gus meninggal kesan mendalam di hati penonton.

Namun, selepas diberi peluang berlakon dalam filem Badang, usahawan popular, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, 30, akui ia tidak semudah yang disangka.

Filem terbitan FiTA Studios Sdn Bhd dan UiTM Holdings yang akan menemui penonton pada 15 Februari ini menyaksikan Aliff bergandingan dengan aktres, Fasha Sandha.

“Dulu memang seronok tengok orang berlakon tapi sekarang baru tahu, ia sangat sukar! Apabila berlakon, kena fokus betul-betul.

“Saya terpaksa ambil cuti tiga bulan daripada bisnes semata-mata mahu jalani latihan dan penggambaran. Berlatih sahaja sudah makan masa hampir dua bulan, nak nampak ‘macho’ pula hampir sebulan,” katanya.

Beliau akui watak Bad atau Badang yang dilakonkan 70 peratus bukan dirinya dan ia satu cabaran besar. Ditambah pula, terpaksa melakonkan babak bercinta dengan Fasha Sandha, dia hampir mahu ‘gila’.

Disebabkan dugaan itu, usahawan yang terkenal dengan slogan “Terlajak Laris” pernah menyatakan hasrat mahu memulangkan semula wang kepada penerbit.

Selama berada di set, Aliff turut bergaduh dengan isterinya, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid kerana tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga dan syarikat.

“Ada babak sedih saya menangis betul-betul sebab baru lepas bergaduh dengan isteri. Selalunya kalau bergaduh, kami tidak bertegur sapa. Mungkin sebab terlalu sedih dengan keadaan itu, saya menangis dalam babak.

“Tidak seperti pelakon profesional lain, mereka mudah mengalirkan air mata kerana itu adalah sebahagian daripada kerja mereka,” katanya sambil ketawa.

Seronok berkongsi pengalaman di set penggambaran, Aliff menafikan ada melabur dalam filem Badang untuk mendapatkan watak utama.

“Demi Tuhan, saya tidak melabur dalam filem ini. Selalunya orang cari saya untuk minta tajaan tapi kali ini saya ditawarkan berlakon dan dibayar.

“Saya tahu, ada yang mempertikaikan pemilihan saya sebagai pelakon filem ini,” katanya menganggap peluang itu sebagai rezeki.

Aliff turut menegaskan bayaran yang diterimanya sama seperti pelakon baru lain dan tidak mendapat layanan istimewa.

Dedahnya, ketika penggambaran berlangsung dia juga dimarahi Datuk Profesor Madya Dr A Razak Mohaideen kerana gagal memenuhi kehendak watak dan skrip.

Antara pengalaman tidak boleh dilupakan apabila pengarah ‘tepuk dahi’ kerana geram dengan lakonannya yang tidak menjadi.

Katanya, waktu itu perasaannya jadi gugup dan ‘menggeletar’ kerana sedar sudah melakukan kesilapan sekali lagi.

“Sebagai pelakon baru lain, saya terpaksa melakukan lebih 10 ‘take’ untuk melakonkan satu-satu babak. Apabila nampak saja pengarah mula geleng kepala atau tepuk dahi, saya sudah kecut perut.

“Saya sedar siapa diri saya. Saya bukan hebat macam pelakon lain. Saya anggap ini sebagai peluang dan amanah yang diberikan penerbit kerana percayakan saya,” katanya.

Sedar lakonannya akan dikritik teruk, Aliff meminta penonton jangan melihatnya sebagai usahawan gedik yang sering dipertontonkan, sebelum ini.

Sebaliknya lihat pada keseluruhan cerita yang sememangnya mempunyai keunikan tersendiri dan sangat sesuai untuk tontonan kanak-kanak dan seisi keluarga.

Selain Aliff dan Fasha, filem ini turut dibintangi Fauzi Nawawi, Azhari Zain, Aminah Rhapoor, Fareez Fauzi, Norman Hakim, Douglas Lim, Nadia Brian dan Zalfin Zin.