FiTA Studios – Aksi Mencuit Hati – Harian Metro

Ahad, 18 Februari 2018
Amirul Haswendy Ashari (haswendy@hmetro.com.my)
Sumber: https://www.hmetro.com.my/rap/2018/02/313868/aksi-mencuit-hati


 

Filem genre adiwira Malaysia tidaklah semeriah genre lain seperti komedi, seram atau drama yang sering memenuhi pawagam tempatan. Apabila munculnya Badang, ia adalah percubaan yang baik sepertimana filem Cicakman sebelum ini.

Badang bukan filem bikin semula judul sama yang pernah dibintangi pelakon veteran Wahid Satay terbitan 1962, sebaliknya ia idea baru memaparkan naratif segar.

Jujurnya, filem ini tidak terlalu gah, baik jalan cerita mahupun lakonan. Malah lakon layar serta skripnya juga banyak kelopongan yang boleh diperbaiki jika pengarah beri lebih banyak ruang untuk penambahbaikan.

Cuma jika dilihat dari sudut berbeza, filem ini jelas dibikin untuk sasaran penonton kanak-kanak. Kostum Badang berwarna hijau pucuk pisang boleh dianggap berjaya menarik minat golongan itu. Pereka kostum tahu aspek asas dalam pembikinan sesebuah kostum adiwira tempatan pada kos minimum dan praktikal.

Begitu juga elemen kesan khas imej janaan komputer (CGI) yang diguna pakai pada beberapa babak seperti latar menara jam Big Ben di London, piramid Giza di Mesir dan kawasan kutub utara bersalji.

Malah, beberapa babak kononnya di jeti serta babak bayi buluh betung yang keluar daripada buluh agak meyakinkan.

ANTARA babak dalam Badang.

Biarpun gah dari segi teknikal dengan kesan khas dan aksi, persembahan beberapa pelakon filem ini gagal meyakinkan penonton.

Paling ketara, pastinya watak Badang atau Bad lakonan Aliff Syukri. Lontaran rasanya masih lemah. Mungkin jika diberi lebih masa untuk berlatih, selebriti popular itu mampu menampilan lakonan lebih meyakinkan.

Begitu juga watak antagonis lakonan Fareez Fauzi. Lakonannya kelihatan terlalu dibuat-buat dan besar, sesuatu yang tidak wajar diterjemahkan di layar lebar.

Namun, Fasha dan Fauzi Nawawi masih mempunyai aura tersendiri. Mereka berada dalam liga lakonan tersendiri dan boleh diperbaiki dari semasa ke semasa.

Tarikan lakonan paling berkesan terletak pada Aminah Rhapor sebagai ibu Bad. Lontaran emosinya sebagai ibu tunggal yang membesarkan anak istimewa sangat meyakinkan.

Apa sekalipun, filem ini wajar diberi peluang oleh peminat filem adiwira tempatan. Terutama kanak-kanak yang tercari-cari karya yang boleh dibanggakan mereka selain naskhah adiwira klise terbitan Hollywood.

BADANG

• ARAHAN: Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen

• PELAKON: Datuk Seri Aliff Syukri, Fasha Sandha, Fauzi Nawawi, Azhari Zain, Aminah Rhapor, Fareez Fauzi

• GENRE: Adiwira, aksi komedi

• TAYANGAN: 15 Februari 2018

• ULASAN: Amirul Haswendy Ashari