Tarikh disiarkan : 16 April 2018
Sumber : http://www.kosmo.com.my/k2/varia/kisah-hidup-syed-fakaruddin-1.649988
- Syed Fakaruddin menggunakan teknik gosok, cakar dan kais dalam menghasilkan karya Bumi Asing.
- SEBANYAK 22 karya dipersembahkan pada pameran itu di Segaris Art Centre, Publika, Kuala Lumpur.
- KARYA-KARYA Bumi Asing diinspirasikan daripada perjalanan Syed Fakaruddin dari Terengganu ke Kuala Lumpur.
Beberapa lukisan yang suram dan gelap dapat dilihat dengan jelas ketika menelusuri segenap ruang di Galeri Segaris Art Centre (Segaris) di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur.
Namun, di celah-celah lukisan gelap itu, terdapat beberapa kepingan karya yang berwarna lembut.
“Lukisan hitam itu menggambarkan diri saya yang berhijrah dari kampung di Setiu, Terengganu ke Kuala Lumpur.
“Ia menggambarkan bagaimana suasana semasa saya di kampung yang nyaman dan penuh kehijauan bertukar menjadi suram serta sunyi apabila ke ibu kota,” kata Syed Mohd. Fakaruddin Sayed Jaafar atau lebih dikenali sebagai Syed Fakaruddin.
Beliau adalah pelukis koleksi 22 karya yang dinamakan Bumi Asing. Lukisan itu mula dihasilkan sejak hujung tahun lalu sebelum ia selesai pada pertengahan bulan Mac lalu.
Menurut Syed Fakaruddin, pemanduan dari timur ke barat melalui landskap Malaysia memberikan inspirasi kepada sebahagian besar visualnya. Lukisan-lukisan itu ibarat dokumentari perjalanannya ke ibu negara.
Contohnya, lukisan dengan nama Gelita itu menggambarkan mengenai perasaan panas apabila semakin mendekati Kuala Lumpur. Ia menjelaskan mengapa sebahagian besar komposisinya kelihatan seperti hangus atau terbakar.
Berangkai pula memaparkan pemerhatiannya pada laluan air yang melambangkan harapan dan keyakinan.
Bertukar arah
Anak bongsu daripada lima adik-beradik itu merupakan artis muda yang pertama mendapat perhatian dan tempat untuk mengadakan pameran solo di Segaris.
Beliau yang mempunyai sijil Diploma dan Ijazah Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi seorang pengukir pada awalnya sebelum bertukar arah kepada seorang pelukis tegar yang bersemangat serta prolifik.
Melihat kepada karya-karya Bumi Asing, Syed Fakaruddin menggunakan beberapa teknik dan peralatan bagi menghasilkan lukisan itu.
“Saya gunakan beberapa teknik seperti gores, gosok, tampal, cakar dan kais dalam menghasilkan Bumi Asing.
“Medium peralatan yang digunakan pula adalah penyapu, kayu dan berus besi,” katanya yang sudah enam tahun menceburi dunia lukisan.
Ketua Pegawai Eksekutif Segaris, Nizam Rahmat berkata, apabila menelusuri karya-karya Syed Fakaruddin pada pameran solo sulung itu, pengunjung pasti menjangkakan beliau adalah seorang pelukis senior.
“Namun, jangkaan itu meleset apabila melihat artis tersebut di depan mata yang baru berusia 29 tahun, berambut panjang ala rockers dan bersembang loghat Terengganu ini.
“Macam ada kebenaran dengan apa yang diperkatakan oleh Prof. Madya Jalaini Abu Hassan tentang Syed Fakaruddin di laman sosial Instagramnya.
“Sedang kawan-kawan seangkatannya mengangkat karya pasaran terkini seperti pop, berwarna-warni dan gaya terkini, Syed Fakaruddin masih dengan catan landskap menggunakan bahan konvensional cat minyak yang tebal bertekstur,” ujarnya.