UiTM dan PETRONAS Jalin Usahasama Bangunkan Sektor Tenaga Boleh Baharu dan Pengoptimuman Tenaga (BERNAMA)

SHAH ALAM, 11 Mac (Bernama) — UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB), syarikat komersial dan pelaburan Universiti Teknologi MARA (UiTM), melalui anak syarikat milikan penuhnya, UiTM Energy & Facilities Sdn Bhd (UEFSB) dan unit Tenaga Baharu Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), telah menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) untuk bekerjasama membangunkan sektor Tenaga Boleh Baharu melalui program Solar Berskala Besar dan Pengoptimuman Tenaga dalam kampus.

Kedua-dua pihak berhasrat untuk memanfaatkan kekuatan dan pengalaman masing-masing dalam usaha membangun dan melaksana projek Tenaga Boleh Baharu dan Pengoptimuman Tenaga. Antara usahasama yang akan dijalankan dengan segera ialah peluang melaksanakan program Solar Berskala Besar dan pengoptimuman tenaga dan pemasangan peralatan penjanaan tenaga solar di bangunan milik UiTM di seluruh negara. UiTM memiliki lebih daripada 30 buah kampus di seluruh negara, di mana projek ini mampu menghasilkan penjimatan ke atas perbelanjaan tenaga sebanyak 30% setahun sekiranya berjaya dilaksanakan.

Reference: http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1703586