SIARAN MEDIA: Sultan Selangor Berkenan Rasmi MIHRAB – Pameran Senilukis Bertemakan Masjid

KUALA LUMPUR, 2 NOVEMBER 2019: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj hari ini berkenan menyempurnakan perasmian MIHRAB – Pameran Senilukis Bertemakan Masjid yang dianjurkan oleh Segaris Art Center di Whitebox, Publika, Kuala Lumpur.

Turut berangkat adalah Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang turut berkenan mencemar duli melawat hasil – hasil senilukis yang dipamerkan selepas majlis perasmian berkenaan.

Turut hadir, YBhg. Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), YBhg. Prof. Ts Dr Mohd Fozi Ali, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM, YBhg. Datuk Md Zubir Ansori Yahaya, Pengerusi UiTM Holdings Sdn Bhd, Ahli Lembaga Pengarah serta Pengurusan Kanan Universiti Teknologi MARA dan UiTM Holdings Sdn Bhd.

Dalam majlis yang berlangsung, baginda berkenan menyampaikan titah penghargaan kepada penganjur yang telah berjaya mengumpulkan penggiat – penggiat seni tempatan dari pelbagai bangsa dan kaum untuk mempamerkan hasil – hasil seni yang kreatif bertemakan masjid – masjid di negeri Selangor, sepertimana yang telah dihasratkan oleh baginda sebelum ini.

Dalam ucapan titah, baginda turut menekankan keindahan masjid di Selangor bukan sahaja dinilai dari segi keunikkan seni bina tetapi juga kepentingan institusi masjid tersebut sebagai pusat penyebaran syiar Islam di sini sejak sekian lama. Baginda juga menyatakan hasrat untuk mewujudkan lebih banyak pameran seperti ini pada tahun – tahun berikutnya supaya warisan kesenian Islam di negeri ini dipelihara dan dimartabatkan seterusnya dihayati oleh anak muda di masa hadapan.

Dalam pada itu, YBhg Datuk Md Zubir Ansori Yahaya terdahulu di dalam ucapannya menyatakan setinggi – tinggi kasih dan penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kerana melantik Segaris Art Center sebagai penganjur pameran. Beliau juga menyampaikan komitmen dan kesediaan UiTM dan UiTM Holdings dalam menyokong dan merealisasikan hasrat serta aspirasi Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dalam menganjurkan serta menghasilkan lebih banyak hasil – hasil ini yang bakal dijadikan sebagai rujukan oleh generasi masa hadapan.

Pameran yang dianjurkan oleh Segaris Art Center di bawah pengurusan UiTM Art & Design Sdn Bhd iaitu anak syarikat UiTM Holdings Sdn Bhd ini bermula dari 28 Oktober hingga 10 November 2019.

Pameran yang julung kalinya diadakan bertemakan masjid – masjid di negeri Selangor ini menampilkan lebih 74 hasil karya dari 38 pelukis profesional dan amatur yang menzahirkan pemahaman dan ekspresi seni mereka terhadap seni bina masjid dan juga memperlihatkan fungsi insitusi ini dalam aktiviti kemasyarakatan dalam kehidupan pelbagai kaum. Pameran ini disertai oleh karyawan – karyawan senior antaranya YBhg. Datuk Azman Yusof, YM Raja Azhar Raja Idris, Jaafar Taib, Ilse Noor, Anissa Abdullah, Johan Marjonid, Fauzin Mustafa, Lui Cheng Thak, Shafie Hassan, Stephen Menon, Paul Nickson Atia, Maamor Jantan serta turut mengenengahkan hasil – hasil seni kreatif dari penggiat seni muda berbakat lepasan UiTM sendiri.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyerahkan sijil penghargaan kepada penganjur pameran yang diwakili oleh Pengarah UiTM Art & Design Sdn Bhd, Puan Norzaimah Maarof yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UiTM Holdings Sdn Bhd dan Encik Mohd Nizam Rahmat, Ketua Pegawai Eksekutif Segaris Art Center yang mewakili kesemua penggiat seni tempatan yang mengambil bahagian penaja – penaja pameran serta penulis esei MIHRAB.

TAMAT

Mengenai UiTM Holdings Sdn Bhd 

UiTM Holdings Sdn Bhd telah diperbadankan pada 5 Jun 2007 merupakan syarikat induk pelaburan milik penuh Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan memberi tumpuan kepada 5 teras perniagaan dan perkhidmatan; kreatif, pendidikan swasta, tenaga boleh baharu, perubatan swasta serta teknologi.