KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) — UiTM Energy & Facilities Sdn Bhd (UEFSB) menandatangani Surat Hasrat (LOI) dengan unit Tenaga Baharu Petroliam Nasional Bhd (Petronas), untuk bekerjasama dalam membangunkan loji tenaga kuasa fotovoltan solar berskala besar serta pengoptimuman tenaga di kawasan kampus serta projek bumbung solar.
UEFSB ialah anak syarikat milik penuh UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB), cabang pelaburan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak menyasarkan untuk memanfaatkan kekuatan dan pengalaman masing-masing dalam membangunkan dan melaksanakan projek tenaga boleh baharu serta pengoptimum tenaga.
“Kami sedang mengenal pasti peluang untum mamajukan loji tenaga fotovoltan solar berskala besar selain melaksanakan program kecekapan dan pengoptimuman tenaga , serta memasang jana kuasa solar di bumbung bangunan terpilih di kampus-kampus UiTM di seluruh negara.
“Menerusi lebih 30 kampus di seluruh negara, UiTM berpotensi menjimatkan sehingga 30 peratus perbelanjaan tenaganya setahun,” menurut kenyataan bersama kedua-dua entiti berkenaan.
Hadir pada majlis penandatanganan LOI itu di sini pada 7 Mac, ialah Naib Canselor UiTM Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim, Naib Presiden Kanan Strategi Korporat Petronas Mohamed Firouz Asnan, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan UiTM Holdings Norzaimah Maarof dan Ketua Tenaga Baharu Petronas, Dr Jay Mariyappan.
Mohd Azraai berkata: “Kerjasama ini akan mengukuhkan kelebihan daya saing UiTM dalam sektor pendidikan tinggi ke arah menjadi universiti utama pertumbuhan komersil yang cemerlang, untuk masa depan yang lebih mampan.”
UHSB kini memiliki loji kuasa fotovoltan solar berskala besar 61 megawatt (MW) di Gambang, Pahang, yang memulakan operasi pada 8 Mac 2019, dan dijangka menjana lebih 80,000 MWh tenaga bersih setahun dan mencatat hasil sebanyak RM650 juta untuk tempoh 21 tahun.
UHSB juga telah memulakan pembangunan loji kuasa fotovoltan solar terbesar 31 MW di Pasir Gudang, Johor.
Loji solar itu apabila siap pada suku pertama 2020, dijangka menjana lebih 40,000 MWh tenaga bersih dan menyumbang pendapatan sebanyak RM315 juta dalam tempoh 21 tahun, dengan potensi mengelakkan pelepasan 28,000 tan karbon setiap tahun.
“Menjelang 2020, UiTM, melalui dua loji tenaga solar berskala besar dengan kapasiti gabungan sebanyak 92MW, akan menyumbang kepada hampir empat peratus pengeluaran tenaga boleh baharu Malaysia,” kata Mohd Azraai.
Sementara itu, Mohamed Firouz berkata langkah ke arah tenaga bersih penting untuk menjamin kelestarian perniagaan Petronas.
“Ia adalah sebahagian daripada strategi ‘Langkah Keluar’ syarikat ke dalam bidang perniagaan baharu yang membuka transformasi sektor tenaga, dan memainkan peranan dalam melindungi perniagaan kami daripada gangguan masa depan,” katanya.
Petronas sudah pun menjalankan beberapa inisiatif di Malaysia yang bertujuan untuk membantu kerajaan memenuhi sasaran 20 peratus daripada tenaga elektrik negara dijana oleh sumber boleh baharu menjelang 2025.
Ini termasuk projek solar di atas bumbung pusat beli-belah Suria KLCC di sini, loji fotovoltan solar 10MW di Gebeng, Pahang, dan pemasangan dan penggunaan tenaga solar di bangunan dan aset Petronas di seluruh negara.
— BERNAMA