KUALA LUMPUR, 8 Jan —Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul satu-satunya universiti di negara ini yang memiliki dan mengendalikan dua loji janakuasa solar fotovolta berskala besar (LSSPV) susulan kejayaan operasi komersial loji keduanya di Pasir Gudang, Johor.
Berikutan itu, universiti tersebut kini mempunyai kapasiti gabungan penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 75MWac (92.58 megawatt puncak atau MWp).
Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim keputusan untuk memiliki beberapa loji LSSPV secara komersial itu adalah sebahagian daripada usaha universiti agar mencapai tahap neutral karbon selain menjana pendapatan yang mampan.
“Stesen (loji) LSSPV baharu ini akan meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga solar universiti yang kini berupaya menjana 61MWp menerusi stesen LSSPV pertama di Gambang, Pahang yang telah memulakan operasi komersial pada April 2019 dan pelan pembangunan sistem penjanaan tenaga solar di kampus-kampus UiTM berkapasiti 66MW yang dijangka memulakan operasi komersial pada penghujung tahun 2022.
“Usaha ini membolehkan penjanaan RE yang bersih dan mencukupi untuk menampung keperluan elektrik tahunan universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Projek dikenali sebagai UiTM Solar Park II (USP II) yang dibangunkan dan dikendalikan oleh UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB) menerusi anak syarikat milik penuhnya iaitu UiTM Solar Power Dua Sdn Bhd (USPDSB), telah berjaya memulakan operasi komersial pada 2Disember 2020.
USP II yang beroperasi pada kapasiti 31 MWp turut dilengkapi dengan 92,500 panel fotovolta solar dan 160 alat penyongsang solar.
Kemudahan yang dibina di atas tanah berkeluasan 44.8 hektar, dijangka menyumbang kepada penghindaran pelepasan 28,000 tan karbon serta berupaya menjana 40,000 MWh tenaga bersih setahun.
Menurutnya, kos pembangunan USP II ini adalah kira-kira RM125 juta.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UHSB, Norzaiman Maarof menyifatkan kejayaan untuk mentauliahkan USP II adalah hasil kerja keras pasukan USPDSB yang mempunyai kepakaran dan berpengalaman luas biarpun terdapat cabaran berikutan penularan COVID-19.
“Pembangunan USP II memakan masa selama 11 bulan, termasuk kelewatan dan penanggguhan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19,” katanya.
Reference: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1919807